02 May
02May

TUGASAN KUMPULAN (RPH).docx

PEMARKAHAN

 

 

BMP3073-A192

TUGASAN KUMPULAN (PENYEDIAAN DAN PEMBENTANGAN RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN)


TAJUK:

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN KOMSAS TINGKATAN 3 (PENGAJARAN GAYA BAHASA BAGI PUISI MODEN)

 

DISEDIAKAN OLEH:


NAMA

NO. MATRIK

PROGRAM

NUR ALIA HAFIZA BINTI ABDUL RAHIM

D20181082493

AT05 IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN BAHASA MELAYU

NURUL NAJWA BINTI AHMAD ROSE

D20181082536

AT05 IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN BAHASA MELAYU


PENSYARAH: PROF. MADYA DR. ADENAN AYOB

 

 

Tarikh: 02/05/2020


SENARAI KANDUNGAN

BIL

PERKARA

HALAMAN

1.0

PENGENALAN

1

2.0

ASPEK PEDAGOGI

2.1 PERANCANGAN

2.2 PELAKSANAAN

2.3 PENUTUP


2

4

8

3.0

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN

8

4.0

KESIMPULAN

12

 

RUJUKAN

13

 

LAMPIRAN



 

SENARAI GAMBAR

 

GAMBAR

HALAMAN

GAMBAR 1

Contoh-contoh aktiviti set induksi

4

GAMBAR 2

Guru menggunakan teknik ilustrasi ketika mengajar

10

 

 

SENARAI RAJAH

 

RAJAH

HALAMAN

RAJAH 1

Langkah-langkah pengajaran mikro

5

RAJAH 2

Elemen dalam pentaksiran

7








                                                                      

 

1.0       PENGENALAN

Penguasaan aspek pedagogi dalam kalangan pendidik dan bakal pendidik merupakan satu perkara yang penting dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Yahya Don (2007) menyatakan pedagogi bermaksud kaedah ataupun strategi yang digunakan dalam pengajaran seperti pengajaran berkumpulan, pembelajaran koperatif, kaedah menyelesaikan masalah, dan Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK). Manakala, Esah Sulaiman (2004) berpendapat bahawa pedagogi merupakan kemahiran mengajar yang digunakan oleh guru untuk menyampaikan pengetahuan yang khusus dalam sesuatu bidang. Berdasarkan kedua-dua tokoh tersebut, pedagogi bermaksud kaedah atau strategi yang digunakan oleh guru ketika proses PdP dijalankan bagi menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada pelajar.

            Sebelum proses PdP berlaku, guru perlu menyediakan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dijalankan berdasarkan sukatan pelajaran dan menepati kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Rancangan pengajaran adalah rangka kerja aktiviti pengajaran pembelajaran untuk dilaksanakan oleh guru di dalam bilik darjah dalam satu jangka waktu yang telah ditetapkan. Menurut Y.K. Singh (2010), Binning and Bining berpendapat bahawa Rancangan Pengajaran Harian (RPH) melibatkan kepada menentukan objektif, memilih dan menyusun isi pelajaran, dan menentukan kaedah dan prosedur. RPH dibina untuk dijadikan sebagai panduan kepada guru dalam pengajaran dan membantu guru untuk mengajar lebih bersistematik dan efektif disamping dapat mencapai objektif yang telah dirangkakan dalam proses PdP. RPH yang disediakan perlulah menepati aspek pedagogi supaya proses PdP menjadi lebih berkesan dan efektif.


2.0      ASPEK PEDAGOGI

2.1 PERANCANGAN

a. Objektif Pembelajaran

Semasa dalam perancangan bagi penyediaan RPH, setiap guru perlulah merancang dan menyediakan objektif pembelajaran yang ingin dicapai. Objektif pembelajaran adalah pernyataan yang menerangkan apa yang dapat pelajar lakukan setelah menyempurnakan sesuatu unit pelajaran. Menurut Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad (2011), objektif pembelajaran juga dikenali sebagai sasaran yang ingin dikuasai oleh murid. Objektif pembelajaran yang disediakan perlu menepati keadaan pelajar disamping menitikberatkan tahap pengetahuan dan penguasaan pelajar. Guru perlu merancang dan menilai sebaik mungkin objektif pembelajaran yang disediakan sama ada objektif tersebut dapat dicapai oleh para pelajar atau sebaliknya. Sebagai contoh, guru perlu menentukan senarai topik, kandungan dalam pembelajaran, topik yang ingin ditekankan dan sebagainya untuk diajarkan kepada pelajar. Hal ini demikian adalah untuk memastikan proses PdP berlaku dengan lancar disamping para pelajar dapat memperoleh pengetahuan mengenai pelajaran yang diajar. Maka, objektif pembelajaran yang disediakan semasa proses perancangan amat membantu guru untuk membantu pelajar untuk menguasai sesuatu pelajaran.


b. Alat dan Bahan

Ketika dalam proses merancang, alat dan bahan yang ingin digunakan dalam proses PdP dapat membantu guru untuk mencapai objektif pembelajaran. Guru perlu menentukan alat dan bahan yang sesuai digunakan bagi melicinkan lagi pengajaran yang ingin diajarkan kepada pelajar. Alat dan bahan merupakan alat pengajaran atau alat bantu mengajar yang digunakan oleh guru untuk menyampaikan maklumat. Alat dan bahan pengajaran terdiri daripada kertas latihan, buku teks, gambar, video, kaset, cakera padat dan sebagainya. Semasa proses perancangan pemilihan alat dan bahan, guru perlu menilai alat dan bahan yang ingin digunakan supaya dapat membantu mereka untuk mempercepat proses PdP di samping dapat membantu mereka mengajar dengan lebih kemas dan tersusun. Menurut Abdul Ghani Abdullah (2007), penggunaan alat dan bahan secara teratur akan memberi keberkesanan dalam proses PdP dan pelajar akan lebih berminat untuk belajar. Maka, perancangan dalam penggunaan alat dan bahan dalam proses PdP dapat membantu guru untuk mencapai objektif pengajaran yang disediakan dalam RPH.

c. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan elemen yang banyak ditekankan dalam pendidikan moden. Bagi melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, pelaksanaan KBAT dalam pendidikan dapat memenuhi kehendak semasa. Semasa dalam proses perancangan, guru perlulah menekankan kesemua elemen dalam KBAT iaitu mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Pelaksanaan KBAT dalam sesi pengajaran perlulah menepati dengan objektif pembelajaran yang disediakan dalam RPH. Guru perlulah merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia supaya KBAT dapat diaplikasikan dalam sesi PdP. Seterusnya, penggunaan alat berfikir seperti peta pemikiran, soalan dan penyoalan, peta minda dan sebagainya dapat membantu murid berfikir dengan lebih tersusun, sistematik dan berfokus (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2014). Maka, penerapan KBAT dalam proses perancangan RPH dapat memudahkan guru untuk melaksanakan KBAT dalam sesi PdP di samping meningkatkan lagi kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar.


d. Pentaksiran

Semasa proses perancangan RPH, pentaksiran memainkan peranan penting dalam proses PdP. Pentaksiran merupakan suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod (pengujian), memberikan skor atau markah (pengukuran) dan menterjemah maklumat (penilaian) tentang pembelajaran seseorang murid bagi tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaaan Malaysia, 2000). Sebelum sesi PdP dijalankan, guru perlu lebih bersedia dalam menyediakan RPH. Aspek pentaksiran dalam proses perancangan RPH dapat membantu guru untuk menambahbaik pembelajaran murid disamping dapat membantu mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan. Guru perlu menilai segala perancangan yang telah disediakan sama ada sesuai untuk diajarkan kepada pelajar atau sebaliknya. Sebagai contoh, guru boleh merancang RPH dengan menggunakan pentaksiran sumatif di mana guru menentukan pembelajaran yang akan diajar pada sesi PdP tersebut dengan melibatkan soalan yang akan diberikan dalam peperiksaan. Jadi, guru dapat merancang soalan apa yang perlu diperbincangkan dengan lebih lanjut bersama pelajar supaya pelajar dapat menguasai topik pelajaran tersebut.


2.2       PELAKSANAAN

a. Set Induksi

Set induksi ini bertujuan untuk menarik kesediaan pelajar bagi mengikuti sesuatu pembelajaran. Hal ini demikian bertepatan dengan pendapat Mok Song Sang (2001) yang menyatakan bahawa set induksi merupakan bahagian permulaan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran yang mana tujuan utama mengadakannya adalah untuk membina aliran fikiran serta menimbulkan minat murid-murid supaya mereka dapat memusatkan perhatian terhadap isi pelajaran yang hendak disampaikan. Sementara itu, Omardin Ashaari (1997) pula mendefinisikan set induksi sebagai proses terawal dalam sesuatu pengajaran yang dirancang dengan sengaja untuk tujuan-tujuan tertentu. Secara umumnya, set induksi merupakan satu cara memulakan pengajaran yang mana kemahiran memulakan pengajaran amat penting kerana guru dapat meyampaikan ideanya kepada pelajar dan memberikan pendedahan berkaitan bahan pengajaran yang hendak disampaikan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan dalam set induksi di dalam kelas adalah seperti berikut:

     

   

 

  • Gambar 1: Contoh-contoh aktiviti set induksi.


b. Alat dan Bahan

Alat bantu mengajar (ABM) adalah alat dan bahan yang dapat membantu seseorang guru dalam proses pengajaran. Menurut Lihanna (2005), guru perlu memastikan rancangan pengajaran dan persediaan ABM yang sesuai ketika melakukan aktiviti di dalam kelas. Seterusnya, menurut Atan Long (1982) pula, alat bantu mengajar (ABM) terdiri daripada berbagai-bagai bahan. Secara umumnya, ABM ini terbahagi kepada tiga jenis. (Kamaruddin Hussin,1987). Antaranya adalah bahan-bahan yang menggunakan media elektronik seperti filem pelajaran, filem jalur- slaid, projektor, pita video, radio, pita rakaman, dan piring hitam. Seterusnya, bahan-bahan yang tidak menggunakan media elektronik seperti suara, buku, gambar carta model, surat khabar, papan tulis, dan kad imbasan. Ketiga, bahan-bahan yang bercorak pengalaman seperti lakonan, pantomim, lawatan, projek pameran dan bahan-bahan daripada alam sekitar.


c. Langkah-Langkah Pengajaran

  • Pengajaran Mikro

Menurut Sharifah Alwiah (1986), pengajaran mikro merupakan teknik pengajaran untuk meningkatkan kemahiran pengajaran guru dalam aspek-aspek tertentu seperti set induksi atau motivasi, penyoalan, variasi rangsangan, penggunaan papan kapur, alat bantuan mengajar, pengukuhan, penutup dan lain-lain.

Rajah 1: Langkah-langkah pengajaran mikro.


  • Pengajaran Makro

Pengajaran makro merupakan satu sesi pengajaran praktik yang lengkap bermula daripada pendahuluan, set induksi, perkembangan, penilaian dan penutup.

1.  Sebelum pengajaran: Pertama sekali, perancangan pendahuluan yang merangkumi penentuan topik, kebolehan sedia ada murid-murid dan objektif atau hasil pembelajaran. Kedua, perancangan penyampaian iaitu penentuan strategi pengajaran dan pembelajaran, penentuan masa, pemeringkatan isi dan pemilihan sumber. Ketiga, perancangan penilaian yang terdiri daripada pencapaian, penganalisisan maklum balas dan pengubahsuaian.

2. Semasa pengajaran: Guru perlulah mengamalkan prinsip dari yang susah    diketahui kepada belum diketahui, dari mudah kepada kompleks, dari konkrit kepada abstrak, dari dekat kepada jauh dan dari yang dalam pengalaman kepada yang di luar pengalaman.

3.  Selepas pengajaran: Membuat refleksi.


d. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Penerapan KBAT dalam sistem persekolahan adalah supaya murid tidak hanya menghafal tetapi juga faham dan tahu apa yang mereka pelajari dan menggunakan akal fikiran pada tahap yang tinggi dengan menguasai kemahiran menilai, mengaplikasi, menganalisis dan mencipta.

Ciri-ciri Murid KBAT:

1. Sentiasa menyoal.

 2. Boleh memberi cadangan penyelesaian (menaakul) berdasarkan pengetahuan sedia ada.

Ciri-ciri Guru yang Menggalakkan KBAT:

1. Berperanan sebagai pemudah cara.

2. Melibatkan murid secara aktif semasa pengajaran dan pembelajaran .

3. Menggalakkan murid memberi pandangan dan membuat keputusan.


e. Pentaksiran

Ghafar (2011) mendefinisikan pentaksiran sebagai proses mengukur, proses penilaian, proses yang sistematik yang melibatkan pengumpulan, penganalisisan dan penterjemahan serta keterangan tentang tahap pencapaian pelajar terhadap objektif pengajaran. Jadi, dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, guru perlu melakukan ujian supaya dapat menilai tahap kefahaman dan penguasaan pelajar bagi setiap topik pembelajaran. Contohnya, menjalankan kuiz dan ujian sama ada soalan berbentuk objektif ataupun subjektif selepas tamat sesi pengajaran dan pembelajaran.

Rajah 2: Elemen dalam pentaksiran.

 

f. Penguasaan Isi Pelajaran

Pengetahuan isi kandungan (PIK) merupakan perkara yang melibatkan pengetahuan seseorang guru dalam menterjemahkan pengetahuan tersebut di dalam bilik darjah dan kemahiran dalam mengajar topik-topik khusus berkenaan perkara yang ingin diajarkan. (Zaidah Yazid, 2005). Jadi, guru perlu menguasai setiap kandungan mata pelajaran dengan mendalam supaya dapat memberikan kefahaman kepada pelajar. Kemudian, bagi mencapai penguasaan isi kandungan, objektif pengajaran haruslah jelas dan isi kandungan pengajaran dicerakinkan kepada beberapa bahagian yang kecil. Isi pengajaran juga mestilah disampaikan mengikut tahap-tahap individu dan dalam susunan tertib unit pembelajaran yang meningkat. Seterusnya, guru boleh merancang kerja-kerja secara individu seperti bacaan khas, tugasan dalam lembaran dan kuiz bagi memastikan pelajar menguasai isi pelajaran.


g. Pencapaian Objektif

Objektif pengajaran adalah perlakuan yang hendak dicapai oleh pelajar setelah mengikuti sesuatu pengajaran. Oleh yang demikian, keberkesanan kaedah mengajar membolehkan pelajar menjadi fokus dalam pencapaian objektif pembelajaran. Dalam pencapaian objektif ini juga, fakta murid seperti kebolehan dan pengetahuan sedia ada perlu diambil kira. Kemudian, guru perlu mempelbagaikan teknik mengajar dengan menggunakan alat bantu mengajar yang bervariasi. Sehubungan dengan itu, dalam setiap pengajaran, objektif dinilai dari segi pencapaiannya oleh pelajar dan guru menggunakannya untuk memperbaiki pengajarannya.



2.3       PENUTUP

a. Rumus Isi Pelajaran

Penutup boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu penutup kognitif dan penutup sosial. Penutup kognitif adalah berkaitan kandungan pelajaran iaitu merumus isi pelajaran, memberi tugasan dan menyatakan perkaitan antara pengajaran semasa dengan pengajaran yang akan datang. Manakala, penutup sosial pula adalah seperti memberi kata kata hikmat, memberi pujian dan motivasi. Sehubungan dengan itu, guru akan membuat rumusan isi pelajaran setiap hari setelah selesai sesi pengajaran. Guru akan meringkaskan perjalanan pembelajaran pada hari tersebut dan mengaitkannya dengan input yang diperoleh oleh pelajar. Kemudian, guru akan cuba membuat penambahbaikan bagi pengajaran akan datang bagi memastikan setiap objektif pembelajaran dapat dicapai dengan jayanya.


3.0       RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN KOMSAS TINGKATAN TIGA

Mata Pelajaran            : Bahasa Melayu

Tarikh                          : 28 April 2020 (Selasa)

Masa                           : 60 minit (10.30 pagi – 11.30 pagi)

Bilangan Pelajar          : 25 orang

Tingkatan                    : 3 Cemerlang

Tajuk                           : Sajak Kijang yang Lelah (Antologi Bintang Hati)

Aspek Tajuk                : Gaya Bahasa

Model Pengajaran      : Pembelajaran Secara Langsung

Bidang                         : Estetik

Objektif Pembelajaran: Pada akhir pembelajaran, pelajar dapat menentukan sekurang- kurangnya tiga jenis gaya bahasa dengan tepat yang terdapat dalam sajak secara berkumpulan.




Huraian Pembelajaran:

Hasil Pembelajaran

Huraian Hasil Pembelajaran


11.0 Menguasai gaya bahasa dan laras bahasa dalam karya penulisan kreatif dan bukan kreatif.

11.2 Menganalisis gaya bahasa dan unsur bunyi dalam karya sastera serta menggunakannya dalam penulisan kreatif.


Aras 1 (ii)


Mengesan gaya bahasa dalam puisi moden iaitu sajak.


Pengetahuan sedia ada murid - Pelajar telah mengetahui:

  • Maksud gaya bahasa.
  • Keseluruhan teks Sajak Kijang yang Lelah.
  • Kaedah mengenalpasti gaya bahasa.


Kemahiran Bahasa     : Bertutur, membaca dan mendengar.

Sistem Bahasa            : Kosa kata dan istilah.

Persediaan guru          : Antologi KOMSAS, Bintang Hati.


Pengisian Kurikulum:

            Ilmu     : Kesusasteraan.

            Nilai     : Ketabahan, kesungguhan, kerjasama dan kepekaan.

            KBAT  : Kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, dan menaakul.


Alat Bantuan Mengajar (ABM):

-Teks Sajak Kijang yang Lelah                           -Papan putih

-Kertas mahjong                                                 -Komputer              

-Marker pen                                                        -LCD

-Speaker

 

FASA DAN ISI KANDUNGAN

AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

CATATAN

Set induksi (2 minit)

-Seorang pelajar diminta mendeklamasikan sebuah sajak di hadapan kelas dengan nada, gaya, dan intonasi yang betul.

Senikata sajak dipancarkan melalui LCD.


  • Fasa 1: Pengenalan dan sorotan (6 minit)

-Mengaktifkan pengalaman lalu.

Objektif:

Menentukan 3  jenis gaya bahasa yang terdapat dalam sajak :

-Menentukan gaya bahasa personifikasi dalam sajak.

-Menentukan gaya bahasa metafora dalam sajak.

- Menentukan gaya bahasa asonasi dalam sajak.

Memperkenalkan objektif:

-Guru memaklumkan objektif pelajaran hari ini.

Sorotan:

-Murid mengimbas kembali sajak yang telah dipelajari.

-Murid memberi respons tentang ciri-ciri, dan bentuk-bentuk sajak.

Mengaplikasikan kemahiran mengingat.





  • Fasa 2: Persembahan (20 minit)

-Isi baharu diperkenalkan dan dihuraikan.

Objektif:

Menjelaskan konsep dan contoh bagi setiap gaya bahasa iaitu personifikasi, metafora dan asonasi.

  • Personifikasi

-Personifikasi merupakan perlambangan atau perumpamaan sesuatu benda tidak bernyawa atau sesuatu yang abstrak sebagai mempunyai sifat-sifat manusia.

-Contohnya:

1.Sebak menyentap dahan kalbu.

2.Dedaun resah mula berguguran.

  • Metafora

-Metafora adalah perbandingan dua hal secara langsung dalam bentuk yang ringkas. Kebiasaannya, metafora menggunakan dua kata, iaitu yang bersifat konkrit (boleh dilihat atau dipegang) dan yang bersifat abstrak (yang tidak boleh dilihat).

-Contohnya:

1. Pepohon batin akhirnya tumbang.

2. Dia tetap menjinjing tekad dan tabah.

  • Asonansi 

-Asonansi adalah pengulangan bunyi vokal yang sama dalam suku kata yang diberi penekanan pada kata-kata yang bersebelahan yang mungkin didahului dan dikuti oleh konsonan yang berbeza.

-Contohnya:

1. Walau dalam jera lelah.

2. Dia tidak lagi gundah.

-Guru memberikan penerangan berdasarkan slaid PowerPoint. Guru menerangkan konsep gaya bahasa personifikasi, metafora dan asonasi. Kemudian, guru mengajar teknik mencari penggunaan ketiga-tiga gaya bahasa tersebut di dalam sajak.

Gambar 2: Guru menggunakan teknik ilustrasi ketika mengajar.


-Penggunaan teknik ilustrasi memudahkan pengajaran guru. Guru mencipta nota atau formula ringkas dalam bentuk gambar bagi memudahkan pelajar memahami dan mengingat jenis gaya bahasa.

Menerapkan pembelajaran abad ke-21 iaitu elemen kreativiti.


  • Fasa 3: Latihan berpandu (15 minit)

-Murid melakukan latihan konsep dan kemahiran di bawah pengawasan guru.

Objektif:

Memastikan setiap pelajar memahami konsep dan bentuk setiap gaya bahasa dengan jelas.

-Aktiviti secara berkumpulan dijalankan yang bertajuk Match Me.

-Prosedur aktiviti:

1. Pelajar dibahagikan kepada 5 kumpulan.

2. Setiap kumpulan diberikan kertas mahjong yang sudah dilukis jadual pembahagian gaya bahasa.

3. Beberapa keping kad berkaitan ciri-ciri gaya bahasa personifikasi, metafora dan asonasi diberikan secara rawak.

4. Pelajar perlu menampalkan kad tersebut di dalam jadual pada kertas mahjong dengan mengkelaskan ciri-ciri gaya bahasa yang tepat.

  • -Menerapkan pembelajaran koperatif dan kolaboratif.

 

Fasa 4:  Latihan kendiri (10 minit)

-Murid melakukan latihan menggunakan konsep dan kemahiran mereka sendiri.

Objektif:

Murid mencari gaya bahasa personifikasi, metafora dan asonasi dalam sajak Kijang yang Lelah.

-Guru meminta pelajar mencari gaya bahasa yang dipelajari dalam sajak Kijang yang Lelah.

-Pelajar menyenaraikan gaya bahasa personifikasi, metafora dan asonasi yang terdapat dalam sajak berkenaan.

-Guru memantau dan membuat penilaian.

 

Teks sajak

Fasa 5: Penaksiran (5 minit)

- Guru memilih 3 orang pelajar untuk menyenaraikan gaya bahasa yang mereka temui di papan tulis.

- Guru dan pelajar membuat analisis berdasarkan gaya bahasa tersebut.

 

Tugasan pelajar

Penutup: (2 minit)

Penutup kognitif :

- Wakil pelajar membuat kesimpulan atau refleksi.

- Guru membuat rumusan.

Penutup sosial:

- Guru memberikan kata-kata semangat.

 

Membuat kesimpulan terhadap isi pelajaran pada hari tersebut.




 

KESIMPULAN

Rancangan Pengajaran Harian (RPH) perlu disediakan oleh guru setiap kali mengajar. Hal ini dikatakan demikian kerana RPH mengandungi objektif pengajaran dan pembelajaran serta isi kandungan pelajaran. Oleh yang demikian, RPH merupakan panduan guru untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Tambahan lagi, dengan adanya RPH ini, guru dapat memberikan pengajaran dengan berkesan dan membolehkan guru dan pelajar mencapai hasil pembelajaran dengan jayanya. Selain itu, guru juga dapat membuat persediaan mengajar yang lengkap berpandukan RPH yang telah dibuat seperti persediaan dari segi ilmu isi pelajaran dan alat bantu mengajar (ABM). Secara tidak langsung, guru juga boleh membuat penambahbaikan kaedah mengajar melalui tahap pencapaian hasil pembelajaran dan penilaian pelajar dalam RPH.

            Sebelum menyediakan Rancangan Pengajaran Harian ini, guru perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mendalam tentang pedagogi. Dalam konteks ini, guru perlu mengetahui aspek pedagogi yang melibatkan tiga proses iaitu perancangan, pelaksanaan dan penutup.

            Akhir sekali, pengkaji menyediakan Rancangan Pengajaran Harian KOMSAS Tingkatan 3 bagi pengajaran gaya bahasa dalam Sajak Kijang yang Lelah. Pengkaji telah menerapkan elemen pembelajaran abad ke-21 dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pengajaran. Berdasarkan RPH yang dibuat, guru menggunakan pelbagai strategi mengajar seperti penggunaan teknologi moden iaitu komputer, aktiviti berkumpulan dan tugasan kendiri. Hal ini demikian membolehkan pelajar menguasai pembelajaran gaya bahasa antaranya personifikasi, metafora dan asonasi dengan berkesan.

            Kesimpulannya, setiap guru perlu mempunyai kemahiran pedagogi yang mantap supaya dapat menyampaikan ilmu kepada pelajar dengan sempurna.


RUJUKAN

Abdul Ghani Abdullah. (2007). Humor dalam Pengajaran. Kuala Lumpur: PTS     Professional Publishing Sdn. Bhd.

Cathrine Masingan & Sabariah Bte Sharif. (2019). Pengetahuan Pedagogi Kandungan (PPK) Guru Bukan Pengkhususan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di Sekolah Menengah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities, 4, 64-71.

Esah Sulaiman. (2004). Pengenalan Pedagogi. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2014). Elemen KBAT dalam Pedagogi.

Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad. (2011). Kaedah dan Strategi Pengajaran         Kanak-Kanak Berkeperluan Khas. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains            Malaysia.

Yahya Don. (2007). Kepimpinan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: PTS      Professional Publishing Sdn. Bhd.

Y.K. Singh. (2010). Micro Teaching. New Delhi: APH Publishing Corporation.

Zarima Mohd Zakaria, Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff, Fatimah Sou Yan Mei, Mohd Hilmi Abdullah dan Saipolbarin Ramli. (2016). Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan (PPIK) Guru Bahasa Arab Sebutan Konsonan Arab: Kajian Kes di Sekolah Rendah. Journal of Global Business and Social Entrepreneurship (GBSE), 2, 122-138.

 

LAMPIRAN

 

Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING