28 Apr
28Apr

ASSIGNMENT.docx

PEMARKAHAN

 


BMP3073 - A192

TUGASAN INDIVIDU (ARTIKEL SENI BAHASA DALAM KARYA SASTERA) 

 

TAJUK:

SENI BAHASA DALAM NOVEL BUMI HARAPAN KARYA ALI JUSOH

 


DISEDIAKAN OLEH:

 

NAMA

NO. MATRIK

PROGRAM

NURUL NAJWA BINTI AHMAD ROSE

D20181082536

AT05 IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN BAHASA MELAYU


PENSYARAH: PROF. MADYA DR. ADENAN AYOB

 

 

Tarikh: 02/05/2020



SENARAI KANDUNGAN



BIL

PERKARA

MUKA SURAT

1.0

PENDAHULUAN

1

2.0

SINOPSIS

2

3.0

ANALISIS BAHASA FIGURATIF

3.1 METAFORA

3.2 PERSONIFIKASI

3.3 SIMILE

3.4 HIPERBOLA

3.5 ONOMATOPOEIA

3

3

4

4

5

5

4.0

ANALISIS BAHASA EMOTIF

4.1 SEDIH

4.2 GEMBIRA

4.3 MEMUJUK

4.4 RISAU/BIMBANG

4.5 RUNGUTAN

6

6

6

6

7

7

5.0

ANALISIS BAHASA SENSORI

5.1 PENDENGARAN (AUDITORI)

5.2 PENGLIHATAN (VISUAL)

5.3 SENTUHAN

7

7

8

8

6.0

ANALISIS PERIBAHASA

6.1 SIMPULAN BAHASA

6.2 PERUMPAMAAN

6.3 PEPATAH

9

9

9

10

7.0

ANALISIS UNSUR GAYA BAHASA

7.1 UNSUR GAYA BAHASA PENGULANGAN

7.1.1 REPITISI

7.1.2 EPIFORA

7.1.3 RESPONSI

7.1.4 ANAFORA

7.2 UNSUR GAYA BAHASA PENYIRNAAN

7.2.1 SINKOP

10

10

10

11

11

11

12

12

8.0

KESESUAIAN KARYA DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU DI SEKOLAH

12

9.0

PENUTUP

14

10.0

RUJUKAN

16

 

LAMPIRAN

17



 

1.0       PENDAHULUAN

Sastera ialah kesusasteraan hasil seni (karya tulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu. Kesusasteraan merupakan salah satu bidang yang terdapat dalam bahasa Melayu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2016), kesusasteraan ialah seni yang menggambarkan keindahan dengan bahasa (novel, sajak, dan lain-lain), karang-mengarang, persuratan, dan seni sastera. Menurut Ariff Mohamad (2018) pula, kesusasteraan ialah bidang ilmu kemanusiaan yang terangkum pelbagai unsur, antaranya falsafah, gambaran kehidupan, nilai-nilai pendidikan, nasihat-nasihat untuk diteladani selain untuk tujuan berhibur. Terdapat beberapa bentuk kesusasteraan yang terdapat dalam sastera Melayu iaitu Kesusasteraan Melayu Tradisional, Kesusasteraan Melayu Klasik dan Kesusasteraan Melayu Moden. Kesusasteraan Melayu terdiri daripada sajak, pantun, seloka, cerpen, puisi, gurindam, prosa tradisional dan sebagainya, dan kesemua ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza.

            Sastera dan bahasa tidak dapat dipisahkan kerana sastera itu sendiri merupakan seni bahasa yang menambahkan lagi unsur keindahan dalam sesuatu bahasa. Penggunaan seni bahasa yang menarik mampu menjadikan sesuatu karya itu lebih indah dan gramatis. Seni bahasa yang dipersembahkan dalam sesuatu karya mampu mewujudkan perasaan, persepsi, imaginasi, intelek, rohani dan emosi kepada pembaca. Penggunaan bahasa figuratif, bahasa emotif, bahasa sensori dan sebagainya memainkan peranan yang penting untuk mengembangkan keindahan dan seni bahasa dalam sesuatu karya yang dihasilkan.

            Komponen Sastera (KOMSAS) merupakan salah satu komponen yang terdapat dalam subjek bahasa Melayu. KOMSAS diajarkan kepada pelajar pada peringkat sekolah menengah bagi meningkatkan perkembangan intelek, rohani, emosi dan jasmani, di samping menampilkan nilai-nilai murni dan kemanusiaan. Maka, penggunaan karya Bumi Harapan oleh Ali Jusoh merupakan salah satu instrumen yang boleh digunakan dalam pengajaran KOMSAS kerana ia memiliki nilai-nilai yang boleh diterapkan dalam diri para pelajar. Hal ini kerana karya ini menepati kehendak Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang banyak menampilkan bahasa figuratif, bahasa emosi, bahasa sensori, unsur gaya bahasa dan sebagainya yang boleh diperbincangkan oleh pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.


2.0       SINOPSIS

Novel ini mengisahkan keluarga Imam Abdullah dan Saudagar Zheng berketurunan Arab-Cina yang beragama Islam yang menetap di benua iaitu Tanah Besar China. Mereka terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka kerana berlakunya kekacauan. Mereka merantau ke Terengganu bagi mencari ‘daerah Timur yang aman dari rakyatnya. Negeri yang rakyatnya tidak menderhaka kepada raja’. Imam Abdullah dan keluarga Saudagar Zheng meninggalkan Tanah Besar China dengan menaiki kapal Nakhoda Getang, manakala anaknya Dan-dze mengikuti Panglima Jenderis atas arahan Imam Abdullah untuk memastikan Patung Hidung Besar tidak dimusnahkan. Arahan yang diberikan kepada Dan-dze adalah kerana supaya anaknya dapat memperoleh ilmu bersama Panglima Jenderis dalam perjalanan ke Terengganu.

            Kehadiran keluarga Imam Abdullah dan Saudagar Zheng di Terengganu disambut baik oleh Sultan sehinggakan baginda membenarkan mereka sekeluarga tinggal di rumah berdekatan dengan masjid dan seterusnya melantik Imam Abdullah sebagai imam masjid bagi menggantikan Betara Guru. Tidak lama selepas itu, berlakunya konflik selepas ketibaan sebuah kapal yang diketuai oleh Shih Kai yang begitu mencurigakan bagi Saudagar Zheng, Nakhoda Getang dan Panglima Samir. Keadaan menjadi semakin rumit selepas Hulubalang Bukit Apit tewas ditangan Sinhua seterusnya menguatkan lagi tekaan mereka bahawa mereka bukanlah golongan saudagar dan mempunyai niat tertentu. Unsur-unsur rasuah, aktiviti perjudian dan hiburan yang dibawa oleh mereka menyebabkan Imam Abdullah mengambil tindakan dan berusaha bersama-sama Saudagar Zheng dan Nakhoda Getang bagi membanteras aktiviti tersebut seterusnya menegakkan kembali ajaran agama Islam dalam kalangan penduduk.

            Perarakan Maulidur Rasul yang berlangsung akhirnya menjernihkan kembali keadaan di Terengganu dan akhirnya terbongkarlah niat sebenar Shih Kai yang meminta Sultan menunjukkan ‘patung emas berdarah bertangan enam’ yang disangkakan berada di masjid sedangkan tiada patung yang diletakkan di masjid, surau mahupun musolla dan umat Islam tidak menjadikan patung sebagai alat sembahan. Akhirnya, keadaan di Terengganu kembali aman selepas berlakunya pertarungan yang membuatkan Shih Kai tewas lalu Sultan menitahkan mereka untuk meninggalkan bumi Terengganu.


3.0       ANALISIS BAHASA FIGURATIF

Bahasa figuratif menunjukkan makna (perkataan, rangkai kata, dan sebagainya) yang lebih abstrak atau imaginatif daripada makna biasanya, bersifat kiasan atau lambang (Kamus Dewan Edisi Keempat2016). Menurut Ariff Mohamad (2018), bahasa figuratif ialah bahasa kiasan yang digunakan untuk menambahkan kesan dan makna tertentu dengan cara membandingkan sesuatu perkara dengan perkara lain. Hal ini bermakna bahasa figuratif ialah makna yang lebih abstrak daripada makna biasanya yang memberi kesan dan makna yang khusus dengan pelbagai cara sama ada membandingkan sesuatu perkataan dengan perkataan lain dan sebagainya. Bahasa figuratif terdiri daripada beberapa elemen yang penting iaitu simile, metafora, personifikasi, hiperbola, metonimi, synecdoche, ironi, anafora, pun, euphinmisme, onomatopoeia, oxymoron, allusion, idiom, imagery, perlambangan, aliterasi, asonansi, konsonansi, sindiran, litotes, dan tautology. Dalam novel Bumi Harapan, hanya beberapa elemen sahaja yang diperbincangkan iaitu metafora, personifikasi, simile, hiperbola, dan onomatopoeia. Berikut merupakan elemen bahasa figuratif yang terdapat dalam novel Bumi Harapan:

3.1       Metafora

  • Metafora ialah gaya bandingan atau kiasan yang tidak terikat kepada makna dua lapis dan tidak memerlukan pengutaraan perkara yang dijadikan bandingan, (Keris Mas, 1998). Beliau juga menganggap metafora itu sebagai ungkapan atau simpulan bahasa bermakna bandingan atau analogi iaitu membandingkan dual hal secara langsung tetapi dalam bentuk yang singkat. Pengungkapan yang menggunakan gaya bahasa figuratif metafora ialah:
  • Berbagai-bagai perkara melanggar fikirannya. (ms. 137)
  • Frasa melanggar fikirannya merupakan metafora yang bermaksud hadir dalam fikiran.


  • Dia amat gelisah namun mulutnya terkunci. (ms. 155)
  • Frasa mulutnya terkunci adalah metafora yang membawa maksud tidak berkata apa-apa.


3.2       Personifikasi

  • Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2016), personifikasi ialah pemberian (penyerapan) sifat-sifat manusia kepada benda tak bernyawa atau sesuatu yang abstrak dan lain-lain untuk mendapatkan kesan sastera atau seni. Personifikasi juga didefinisikan sebagai gaya bahasa kiasan yang menggambarkan benda-benda mati atau barang-barang yang tidak bernyawa seolah-olah memiliki sifat-sifat kemanusiaan. Terdapat beberapa elemen personafikasi yang terdapat dalam novel tersebut iaitu:
  • Seri Utama tercungap-cungap. Layar jib sudah mula tenggelam. (ms. 50)
  • Seri Utama merupakan nama bagi kapal yang dinaiki oleh Imam Abdullah, Saudagar Zheng sekeluarga, Nakhoda Getang dan anak-anak kapalnya. Frasa tercungap-cungap merupakan personifikasi yang menggambarkan keadaan kapal Seri Utama yang dalam keadaan terumbang-ambing.


  • Hujan turun bersama angin, kedua-duanya seperti saling berlawan, menimpa dan menampar bumi dan isinya. (ms. 131)
  • Frasa menimpa dan menampar merupakan personifikasi yang menggambarkan keadaan hujan yang membasahi bumi dan angin yang bertiup kencang.


3.3       Simile

  • Simile bermaksud perumpamaan yang secara jelas mengungkapkan perbandingan atau persamaan antara sesuatu (orang, benda, dan sebagainya) dan yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2016). Simile juga merujuk kepada kiasan yang bertujuan untuk menjelaskan lagi sesuatu imej yang dikemukakan. Pengungkapan yang menggunakan gaya bahasa figuratif simile dalam novel tersebut ialah:
  • Seri Utama bergerak kencang, laju bagai seligi dilempar lengan perkasa. (ms. 51)
  • Penulis menggunakan perkataan bagai untuk menunjukkan adanya perbandingan dan ayat tersebut merupakan simile. Ayat tersebut menggambarkan kapal Seri Utama tersebut bergerak dengan begitu pantas.


  • Muka Cik Por menjadi merah, bagai mawar yang sedang kembang. (ms. 119)
  • Penulis menggunakan perkataan bagai yang merupakan simile untuk menggambarkan adanya perbandingan. Ayat tersebut menjelaskan keadaan muka Cik Por yang berasa malu yang menyebabkan mukanya menjadi kemerahan-merahan.


  • 3.4       Hiperbola
  • Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2016), hiperbola merujuk kepada ungkapan (penyataan dan sebagainya) kiasan yang berlebih-lebihan atau dibesar-besarkan untuk memperoleh kesan tertentu dan tidak bertujuan ditafsirkan secara harfiah. Hal ini bermakna hiperbola digunakan untuk menerangkan sesuatu secara berlebih-lebihan untuk memberi kesan yang kuat kepada pembaca atau pendengar. Terdapat beberapa perkataan hiperbola yang terdapat dalam novel seperti:
  • Dia memandang kepada Awang Belaking yang berkilat hitam tubuhnya yang bersila di sebelah kanannya itu. (ms. 151 dan 152)
  • Frasa berkilat hitam merupakan hiperbola yang menceritakan keadaan kulit tubuh Awang Belaking yang gelap secara berlebih-lebih.
  • Terpamer giginya yang kuning berlapis karat oleh sirih yang menjadi kudapan kegemarannya. (ms. 167)
  • Frasa giginya yang kuning berlapis karat menggambarkan keadaan gigi Awang Belaking yang kekuningan secara berlebih-lebihan walaupun giginya tidaklah seteruk seperti karat.


3.5       Onomatopoeia

  • Onomatopoeia merupakan ayat yang maksudnya didapati daripada bunyi-bunyi dan gaya sesuatu benda, perkara, haiwan dan juga manusia. Maksud onomatopoeia tidak dapat difahami pada perkataan yang digunakan untuk mengejanya tetapi maksudnya terdapat pada bunyi dan gaya yang dieja oleh perkataan itu (Jaafar Jambi dan Norliah Abdullah, 2018). Pengungkapan yang menggunakan elemen onomatopoeia yang terdapat dalam novel tersebut ialah:
  • Ahhh!” Dia menjerit terkejut. (ms. 137).
  • Ayat tersebut merupakan salah satu onomatopoeia yang dieja dengan perkataan bagi menunjukkan bagaimana Dan-dze yang menjerit terkejut.
  • “Huh!” Dan-dze melepaskan keluhannya lalu ikut duduk di samping Panglima Jenderis yang sudah siap menyarungkan pedangnya. (ms. 84)
  • Ayat tersebut merupakan onomatopoeia yang dieja dengan perkataan bagi menunjukkan keadaan Dan-dze yang mengeluh.


4.0       ANALISIS BAHASA EMOTIF

Bahasa emotif merupakan salah satu gaya bahasa yang digunakan dalam kesusasteraan Melayu. Menurut Istilah Bahasa Melayu, bahasa emotif bermaksud bahasa yang mengandungi unsur-unsur imageri, simbolik makna tersirat dan lain-lain. Bahasa emotif bertujuan untuk menimbulkan kesan atau tindak balas emosi kepada pembaca. Selain menyampaikan idea, bahasa emotif juga memperlihatkan seni keindahan dan kehalusan bahasa. Bahasa yang baik mampu menjadikan pembaca berasa terharu, sedih, takut, resah, bersemangat dan sebagainya. Berikut merupakan contoh petikan unsur bahasa emotif yang terdapat dalam novel Bumi Harapan:

4.1       Sedih

  • Puan Leila mengesat air matanya yang tumpah. Air mata yang tidak berhenti mengalir sejak mereka berangkat ke pelabuhan itu. (ms. 29)
  • “Ayahanda minta maaf, anakanda”. Air mata Dan-dze semakin menjadi-jadi, hiba mendengar ayahanda merendah diri memohon maaf berulang kali. (ms. 291)


  • 4.2       Gembira
  • “Suka benar kita mendengar cerita itu, tapi kita lebih gembira lagi menerima khabar akan hajat Imam Abdullah yang hendak bermastautin di Terengganu ini…” titah baginda. (ms. 100)
  •  “Panglima Shih Kai, permainan panglima bagus juga, tapi tak setanding dengan panglima kita,” titah raja dengan wajah yang manis, penuh sukacita. (ms. 406)


  • 4.3       Memujuk
  • “Sudahlah anakanda, semuanya sudah takdir. Bukankah anakanda mahu ke mari untuk melihat wajah abangmu itu? Sekarang dia sudah pun berada di hadapan kita.” Puan Leila memujuk. (ms. 294)
  • “Ya adikku, abangmu sedang berdiri dihadapanmu, angkatlah mukamu, adikku,” Dan-dze bersuara memujuk. (ms. 295)


  • 4.4       Risau/Bimbang
  • “Di mana lagi kami nak berehat menenangkan fikiran Delima? Ah Delima, putera itu tak ada apa-apa perasaan kepada hamba, semuanya kebetulan sahaja”, Cik Por mengelak, cuba menyembunyikan perasaan bimbang. (ms. 120)
  • Hulubalang Bukit Apit berhenti sebentar, nafasnya masih belum betul. “Hamba bimbang, kita tak pandai berniaga. Kalau raja boleh dibeli, pembesar apa lagi. Punahlah negeri ini.” (ms. 314)


  • 4.5       Rungutan
  • “Apa lagi permainan saudagar ini?” Raja bersungut. “Apa pula yang dibuatnya di dalam pagar tu?” Rungutan itu terus bersambung. (ms. 198)
  • “Kami duduk-duduk, hujan, tak keluar pun ke taman. Tapi bang, Taat Puteri itu cantik juga. Bagaimana kalau kita pinang untuk Dan-dze nanti?” “Perempuan!” Imam Abdullah bersungut. (ms. 212)


5.1       ANALISIS BAHASA SENSORI

Sensori bermaksud deria yang berkaitan dengan pancaindera kita iaitu penglihatan (visual), pendengaran (auditori), sentuhan (taktil), bau (olfaktori) dan rasa (gustatori). Bahasa sensori merupakan gaya bahasa yang melibatkan pancaindera yang digunakan oleh penulis dalam sesebuah karya sastera bagi memberi gambaran tentang perlakuan seseorang atau keadaan sesuatu. Pengungkapan bahasa sensori yang terdapat dalam novel Bumi Harapan ialah:

5.1       Pendengaran (Auditori)

  • Hiruk tempik sorak dan lolongan kematian bercampur dengan ringkikan kuda bersama bunyi gerak tapak yang kencang begitu seru. Bunyi besi pedang yang berlaga-laga merebut nyawa berdengking-dengking. (ms. 60 dan 61)
  • Penulis menggunakan bahasa sensori pendengaran bagi menggambarkan suasana yang berlaku yang penuh dengan sorakan dan lolongan yang kuat, bunyi kuda, di samping bunyi tapak kasut yang bergerak laju. Terdapat juga bunyi besi pedang yang menggambarkan berlakunya pembunuhan berserta dengan bunyi-bunyi manusia yang menjerit kesakitan (berdengking-dengking).

 

  • Di penjuru sebelah kanan ruang yang semacam pentas itu terdapat pula sekumpulan pemain gendang yang sedang bermain, bergemuruh berbaur pula dengan bunyi gemerencing pukulan piring-piring besi dan tembaga. Pemain-pemain alat bunyian itu semuanya memakai pakaian seragam. (ms. 170)
  • Penulis menggambarkan keadaan tersebut yang penuh dengan bunyi-bunyi alat muzik yang diperbuat daripada besi dan tembaga yang dimainkan oleh sekumpulan pemain gendang.

 

5.2       Penglihatan (Visual)

  • Mata tuanya yang masih terang itu kembali semula ke pasar terbuka yang diteduhi pohon-pohon beringin rendang yang sudah entah berapa puluh tahun usianya. (ms. 5)
  • Penulis menggunakan bahasa sensori penglihatan dengan menerangkan keadaan mata Imam Abdullah yang masih elok itu kembali menatap semula ke pasar terbuka serta menerangkan keadaan pasar terbuka tersebut.
  • Sepatah kata pun tidak terluah. Dan-dze hanya memandang muka tunangnya itu, gadis pingitan yang dilihat sekali-sekala apabila dia berkunjung ke rumah ibu saudaranya. (ms. 30)
  • Penulis menggunakan teknik bahasa sensori untuk menggambarkan keadaan Dan-dze yang melihat tunangnya, Cik Por tanpa berkata apa-apa.

 

5.3       Sentuhan

  • Imam Abdullah berdiri di muka pintu, menunggu di ambang yang agak besar itu. Di situ dia menyambut anaknya. Mereka saling berpelukan. Saling mencium pipi. Kegembiraan sudah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata lagi. (ms. 283)
  • Penulis menggunakan bahasa sensori sentuhan untuk menggambarkan keadaan Imam Abdullah dan Dan-dze yang berasa gembira sehingga berpelukan serta mencium pipi antara satu sama lain setelah Dan-dze sampai ke Terengganu.

 

  • “Ya Tuhanku, ampunilah dosa hamba-hamba-Mu ini.” Baginda berdoa sambil bergerak mengambil seketul batu. Batu itu dikepalnya kemas-kemas. Baginda kembali semula kepada panglima yang sedang menunggu itu. (ms. 376)
  • Penulis menggambarkan keadaan Sultan mengepal seketul batu dengan kemas setelah mengambil batu tersebut untuk digunakan untuk merejam batu terhadap Panglima Samir yang telah melakukan perbuatan zina.


6.0       ANALISIS PERIBAHASA

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2016), peribahasa merupakan ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu, bidal, pepatah. Ariff Mohamad (2018) berpendapat bahawa peribahasa adalah pengungkapan yang unik dalam bahasa Melayu. Berikut merupakan peribahasa yang terdapat dalam karya Bumi Harapan:

6.1       Simpulan Bahasa

  • “Hamba bercakap yang benar, kecantikan tuan sudah menjadi buah mulut orang di sini.” (ms. 119)
  • Buah mulut merupakan simpulan bahasa dan membawa maksud menjadi perbualan orang ramai.
  • “Tak mengapa Delima. Cuma lain kali, mak cik minta, janganlah kamu bergurau perkara yang seumpama ini lagi. Putera raja terlalu tinggi buat kami. Kami orang dagang, Delima” Mak Cik Leila memberi nasihat. (ms. 122)
  • Orang dagang merupakan simpulan bahasa yang bermaksud orang yang merantau dari negeri lain.


6.2       Perumpamaan

  • “Tak kanlah begitu pula. Dan-dze barangkali cukup lawa, perkasa dan macam-macam lagi. Kalau dengan Taat Puteri macam cincin dengan permata, bagai pinang dibelah dua, macam Cik Por dengan anak raja.” (ms. 185)
  • Macam cincin dengan permata dan bagai pinang dibelah dua ialah perumpamaan yang kedua-duanya membawa maksud yang sama iaitu pasangan yang sangat sepadan.
  • “Seronok, ayam terlepas tangan berbau tahi?” ujar Panglima Jenderis. Mereka ketawa lagi. (ms. 340)
  • Ayam terlepas tangan berbau tahi merupakan perumpamaan yang bermaksud melakukan perbuatan jahat tapi tidak mendapat apa-apa hasil, melainkan malu semata-mata.


6.3       Pepatah

  • “Ah, mamanda, sudah terang lagi bersuluh!” (ms. 258)
  • Sudah terang lagi bersuluh merupakan pepatah yang bermaksud bertanyakan sesuatu yang sudah diketahui supaya lebih jelas.


7.0       ANALISIS UNSUR GAYA BAHASA

Gaya bahasa merupakan pemilihan kata, frasa dan ayat yang digunakan oleh pengarang bagi menyampaikan ceritanya. Gaya bahasa juga bermaksud cara penggunaan bahasa oleh penulis untuk menulis karya sastera. Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2005), secara umumnya gaya bahasa yang bermacam-macam yang terdapat dalam karya penulis kreatif dan bukan kreatif itu dapat dikelompokkan kepada lima jenis, iaitu gaya bahasa perbandingan, pertentangan, pengulangan, pertautan, dan penyirnaan. Kelima-lima jenis unsur gaya bahasa ini berbeza antara satu sama lain dan setiap jenis unsur gaya bahasa tersebut mempunyai fungsi-fungsi yang berbeza. Dalam kajian ini, hanya unsur gaya bahasa pengulangan dan sinkop sahaja yang akan kaji iaitu:

7.1       Unsur Gaya Bahasa Pengulangan

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2005) menyatakan gaya bahasa pengulangan ialah gaya bahasa yang mengandungi unsur-unsur pengulangan bunyi, suku kata, kata, frasa, atau bahagian ayat yang dianggap penting untuk menghasilkan kesan dan memberi tekanan dalam sebuah konteks yang sesuai. Dalam gaya bahasa pengulangan, terdapat beberapa jenis gaya bahasa pengulangan iaitu repitisi, responsi, anafora, aliterasi, asonansi, epifora dan rima. Namun, hanya repitisi, responsi, anafora dan epifora sahaja yang dikaji dalam Bumi Harapan:

 

7.1.1    Repitisi

Repitisi ialah gaya bahasa pengulangan kata, frasa, dan beberapa perkataan dalam satu ayat. Berikut merupakan contoh bagi unsur repitisi:

  • “Abang terima segala apa yang berlaku, yang telah berlaku atau yang akan berlaku,” jawab Dan-dze. (ms. 296)
  • Dalam ayat tersebut, terdapatnya unsur repitisi iaitu pengulangan kata berlaku.
  • Wajah Cik Por terbayang, wajah yang sedih. Dia tahu benar, Cik Por memang sedih. Dia pun sebenarnya sedih juga, tetapi kesedihan itu segera hilang. (ms. 305)
  • Terdapat unsur repitisi iaitu pengulangan kata sedih dalam ayat tersebut.


  • 7.1.2    Epifora
  • Epifora ialah sejenis gaya bahasa pengulangan kata, frasa, beberapa kata pada akhir baris atau ayat yang berturutan. Berikut merupakan contoh bagi unsur epifora:
  • “Kalau layak diberi, kita beri. Mereka sebenarnya buta, orang buta tidak layak bersama patung itu,” jawab Panglima Jenderis. (ms. 315)
  • Dalam ayat tersebut, terdapat pengulangan kata beri pada akhir baris secara berturutan.


  • 7.1.3    Responsi
  • Responsi ialah gaya bahasa pengulangan perkataan yang sama di tengah baris ayat. Berikut merupakan contoh bagi unsur responsi:
  • Akan tiba juga masa pembelaan, masa membalas dendam. (ms. 228)
  • Terdapat pengulangan kata masa pada ayat tersebut yang mewakili unsur responsi.


  • 7.1.4    Anafora
  • Anafora ialah gaya bahasa pengulangan perkataan pertama pada setiap baris atau pada setiap ayat secara berturutan. Terdapat contoh bagi unsur anafora dalam karya Bumi Harapan:
  • Aku akan menghadap raja, aku akan meminta supaya perbuatan begitu diberhentikan. Mereka hanya boleh menghuni tanah itu, tapi mereka tidak boleh mencemar tanah itu dan membuat onar di sini.” Suara Imam Abdullah tegas. (ms. 204)
  • Terdapat pengulangan kata pada awal baris secara berturutan iaitu aku yang merujuk kepada unsur gaya bahasa pengulangan anafora.


  • 7.2       Unsur Gaya Bahasa Penyirnaan
  • Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2016), penyirnaan bermaksud pemusnahan, penghapusan, penghilangan. Bahasa Penyirnaan yang dikaji dalam kajian ini adalah sinkope yang bermaksud pengguguran huruf sisipan atau suku kata sisip bagi perkataan atau dengan menghilangkan huruf tengah atau suku kata tengah bagi perkataan (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005). Berikut merupakan contoh bagi sinkop:
  • 7.2.1    Sinkop
  • “Insya-Allah dia akan sembuh juga, sudah boleh berdiri sikit-sikit,” jelas Panglima Jenderis. (ms. 324)
  • Penyingkatan perkataan sedikit-sedikit menjadi sikit-sikit.
  • Maka semakin kuatlah selawat, makin lebarlah senyuman orang-orang yang menunggu sejak berminggu-minggu. (ms. 217)
  • Penyingkatan perkataan semenjak menjadi sejak.
  • Kau pernah ke istana, Delima?” Cik Por memulakan perbualan sebaik sahaja mereka sama-sama duduk. (ms. 182)
  • Penyingkatan perkataan engkau menjadi kau.


8.0       KESESUAIAN KARYA DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU DI SEKOLAH

Pengajaran dan pembelajaran Komponen Sastera (KOMSAS) dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah mula diperkenalkan pada tahun 2000. KOMSAS merupakan komponen wajib dipelajari oleh semua pelajar di semua sekolah sama ada mengambil aliran sains, sastera, agama, teknik dan vokasional. Bagi mencapai objektif Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi mata pelajaran bahasa Melayu, pemilihan karya yang sesuai dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah terutamanya KOMSAS perlulah diambil berat agar dapat mencapai keberkesanan pembelajaran terhadap karya yang dipilih. Maka, novel Bumi Harapan merupakan karya sastera yang sesuai digunakan dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah terutamanya dalam KOMSAS. Karya Bumi Harapan sesuai digunakan dalam pengajaran bahasa Melayu kerana mempunyai nilai-nilai yang penting yang dapat diketengahkan dan dihayati oleh semua pelajar.

            Antara nilai yang terdapat dalam karya Bumi Harapan ialah kepatuhan seorang anak terhadap bapanya. Dalam novel tersebut, jelas terpancar kepatuhan Dan-dze terhadap ayahandanya, Imam Abdullah yang menyuruh anaknya mengikut Panglima Jenderis untuk pergi melihat keadaan Patung Hidung Besar dan mengikutnya kembali semula ke Terengganu. Dan-dze mengikut segala arahan Imam Abdullah tanpa sebarang bantahan dan tidak bertanya mengapa dia perlu mengikut Panglima Jenderis bersama-sama. Hal ini kerana Dan-dze menganggap Imam Abdullah adalah bapa dan ibunya yang harus ditaati mengikut hukum agama Islam memandangkan ibunya telah meninggal dunia. Hanya Imam Abdullah sahajalah tempat Dan-dze mendapatkan kasih sayang sepenuhnya. Seterusnya, nilai kesabaran juga dapat dilihat dalam novel ini dimana Hulubalang Bukit Apit tercedera akibat daripada sikapnya yang tidak sabar dan panas baran apabila dicabar oleh Sinhua untuk bertarung. Setiap manusia perlulah sabar dan tidak terlalu mengikut perasaan amarah supaya tidak ditimpa sebarang masalah.

            Selain daripada nilai-nilai murni, novel ini sesuai digunakan sebagai bahan pengajaran bahasa Melayu kerana adanya pelbagai unsur seni bahasa dan gaya bahasa yang digunakan oleh penulis dalam karya tersebut. Novel Bumi Harapan banyak menampilkan bahasa figuratif, bahasa emosi, bahasa sensori, peribahasa, dan unsur gaya bahasa yang dipelajari oleh pelajar dalam KOMSAS. Sebagai contoh, penulis menggunakan bahasa halus seperti berbadan dua iaitu mengandung supaya tampak lebih lembut dan sopan. Selain itu, penulis juga menggunakan peribahasa dalam karyanya seperti tali barut, buah mulut, bagai pinang dibelah dua, sudah terang lagi bersuluh, dan sebagainya. Dengan adanya bahasa emosi dan bahasa sensori dalam karya tersebut, pelajar dapat menghayati dan membayangkan sesuatu keadaan yang ingin disampaikan oleh penulis walaupun hanya disampaikan melalui penulisan. Hal ini dapat membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mencapai objektif KSSM yang memfokuskan kepada kemahiran berbahasa iaitu aspek seni bahasa.

            Penggunaan novel Bumi Harapan sebagai bahan pengajaran bahasa Melayu di sekolah amat sesuai berdasarkan matlamat dan objektif KSSM yang dapat membentuk pelajar yang dapat memahami dan mengapresiasi karya sastera dengan menyatakan respons peribadi yang sesuai, menghasilkan skrip drama, seloka dan mempersembahkan sketsa, puisi dan cerpen menggunakan idea yang kreatif, bahasa yang indah dan bertatasusila, dan sebagainya. Melalui karya sastera yang digunakan sebagai bahan pengajaran bahasa Melayu, kita dapat melahirkan insan seimbang dari segi pemikiran kritis dan kreatif, dan berinovatif. Di samping itu, KPM melaksanakan kaedah ini untuk memupuk minat membaca dan melahirkan kenikmatan membaca serta penghayatan terhadap karya sastera dalam kalangan pelajar.  Pengapresiasian dan penghayatan sastera mampu mendukung kemahiran berbahasa dalam membentuk jati diri dan sahsiah murid. Untuk merealisasikan matlamat KSSM dalam pengajaran bahasa Melayu tercapai, penggunaan karya sastera iaitu Bumi Harapan amat bersesuaian memandangkan ia menepati objektif KSSM disamping meliputi segala aspek yang perlu diajarkan dalam KOMSAS seperti unsur gaya bahasa, nilai-nilai murni, watak perwatakan dan sebagainya.

            Akhir sekali, pemilihan karya sastera yang sesuai dalam pengajaran bahasa Melayu merupakan salah satu perkara yang perlu dipandang serius. Hal ini kerana karya sastera yang dipilih perlulah sesuai dengan pengajaran bahasa Melayu dan mampu memberi kesan kepada para pelajar. Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bahasa Melayu bukanlah semata-mata tatabahasa namun turut meliputi seni bahasa yang membawa unsur keindahan kepada sesuatu bahasa. Seni bahasa yang diajarkan kepada para pelajar dapat menerapkan nilai yang baik secara tidak langsung kerana setiap karya yang dihasilkan membawa mesej yang mendalam kepada pembaca terutamanya para pelajar. Maka dengan itu, novel Bumi Harapan amat sesuai digunakan sebagai novel bagi PdP KOMSAS bahasa Melayu kerana karya ini memenuhi semua kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM. Jalan cerita dalam novel tersebut mudah difahami dan dikuasai oleh semua lapisan masyarakat terutamanya golongan pelajar.


9.0       PENUTUP

Seni bahasa yang digunakan dalam sesebuah karya amat penting kerana dengan adanya unsur keindahan dalam karya, pembaca dapat menghayati jalan penceritaan tersebut dan tidak berasa bosan untuk membaca karya sastera tersebut. Penggunaan gaya bahasa dalam karya sastera dapat memberi kepuasan kepada pembaca kerana pembaca dapat menggambarkan segala peristiwa yang terdapat dalam karya tersebut dan mampu menghayati keadaan tersebut. Pembaca dapat merasakan emosi dan segala pergerakan yang ingin penulis cuba sampaikan melalui bahasa emotif dan bahasa sensori. Sebagai contoh, pembaca dapat merasakan kesedihan yang dialami oleh watak utama yang ditimpa masalah berbekalkan bahasa emotif yang diterangkan secara terperinci dan lengkap. Gaya bahasa ini akan menjadikan pembaca lebih minat untuk membaca dan dapat membuktikan bahawa penulis berjaya menyampaikan segala perasaan, dan mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca.

            Setiap karya sastera yang dihasilkan mempunyai mesej tertentu supaya dapat membawa perubahan yang baik kepada pembaca. Dengan adanya unsur gaya bahasa, penulis dapat menyampaikan mesej dengan sebaik mungkin. Penggunaan bahasa figuratif, emotif, sensori, unsur bahasa dan peribahasa dapat memberi impak yang positif kepada pembaca. Hal ini kerana melalui pembacaan, pembaca dapat menjadikan karya tersebut sebagai iktibar. Penulis perlu bijak dalam mengarang karya supaya unsur-unsur tersebut dapat disampaikan kepada pembaca agar dapat memberi impak yang positif kepada pembaca. Justeru itu, karya sastera merupakan medium yang paling sesuai digunakan untuk memartabatkan bahasa Melayu kerana setiap karya sastera yang dihasilkan banyak mengutarakan nilai-nilai positif kepada pembaca disamping mengekalkan keindahan bahasa Melayu yang istimewa. Oleh itu, penerapan mata pelajaran KOMSAS dalam kurikulum sekolah merupakan salah satu usaha yang baik untuk melahirkan masyarakat yang mencintai bahasa dan kesenian bahasa.

 


10.0     RUJUKAN

Ali Jusoh (2004). Bumi harapan. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Ariff Mohamad (2018). Kesusasteraan dalam pengajaran bahasa Melayu. Tanjung Malim, Perak: Muhibbah Publication

Hamidah Abdul Wahab (2012). Bahasa figuratif dalam Fajar Sarawak. Issues in Language Studies, 1(1), 9-14. Diperoleh daripada http://publisher.unimas.my/ojs/index.php/ILS/article/view/1683

Jaafar Jambi dan Norliah Abdullah (2018). Strategi terjemahan bahasa figuratif dalam novel bahasa Jepun ke bahasa Melayu. Diperoleh daripada https://ejournal.um.edu.my/index.php/JBBJ/article/view/11488/7762.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2016). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2018). Kurikulum Standard Sekolah Menengah Bahasa Melayu Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Tingkatan 4 dan 5. Diperoleh daripada             https://drive.google.com/file/d/1YarQ_rcr2awlwl5p1FF9znrdKPbV2Rnr/view

Keris Mas (1998). Perbincangan gaya bahasa sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2005). Pengajaran gaya bahasa dalam bahasa Melayu. Jurnal Pengajian Melayu, 16, 37-54. Diperoleh daripada http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/24024/Article_2.PDF.


LAMPIRAN

Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING