02 May
02May

Kesusasteraan bermaksud hasil seni (karya tulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu. Komponen Sastera (KOMSAS) merupakan salah satu subjek yang diajarkan di sekolah kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5 berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) di Malaysia. Subjek KOMSAS ini diajarkan di bawah subjek bahasa Melayu dan dilaksanakan seminggu sekali. Dalam KOMSAS, pelajar-pelajar mempelajari novel, cerpen-cerpen, drama, prosa tradisional, puisi moden dan puisi tradisional. Walaupun subjek ini dilaksanakan untuk memupuk minat membaca dan melahirkan kenikmatan membaca serta penghayatan terhadap karya sastera dalam kalangan pelajar, namun pelajar-pelajar pada zaman kini kurang menunjukkan minat untuk mendalami sastera bahasa Melayu serta tidak dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam KOMSAS. Sebagai guru bahasa Melayu, penggunaan kaedah-kaedah pengajaran yang berkesan  dapat memastikan pelajar mencapai keputusan yang cemerlang dalam KOMSAS.


                Kaedah yang dapat digunakan oleh guru bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada tiga kaedah iaitu kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, penggunaan bahan bantu mengajar dan pelaksanaan aktiviti dalam kelas. Bagi kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, guru bahasa Melayu boleh melaksanakan pelbagai teknik dan strategi yang berkesan untuk pelajar-pelajar seperti teknik perbincangan, teknik soal jawab dan teknik bercerita. Kaedah pembelajaran dalam kelas yang pertama adalah teknik perbincangan. Teknik ini merupakan satu aktiviti mengeluar dan mengulas pendapat tentang sesuatu tajuk. Tujuannya adalah untuk melatih pelajar mengeluarkan fikiran dan pendapat dengan bernas. Teknik ini amat berkesan untuk digunakan untuk membincangkan kandungan bagi novel, cerpen, drama yang dipelajari dalam subjek KOMSAS. Sebagai contoh, teknik ini akan melibatkan pelajar untuk bekerjasama untuk mengeluarkan pandangan masing-masing mengenai watak dan perwatakan, latar tempat, sinopsis, nilai dan pengajaran dan sebagainya. Untuk teknik perbincangan ini, guru bertindak sebagai pebimbing dan pemerhati dalam perbincangan yang akan dijalankan manakala pelajar-pelajar bertindak untuk menyediakan laporan untuk tajuk tugasan yang diberikan. Maka, penggunaan teknik ini amat sesuai dalam subjek KOMSAS untuk membantu pelajar-pelajar untuk menambahkan minat mereka untuk mempelajari sastera bahasa Melayu.


                Kaedah pembelajaran dalam kelas yang kedua adalah teknik soal jawab. Jika teknik perbincangan memfokuskan kepada interaksi pelajar antara pelajar, namun teknik soal jawab ini dapat mewujudkan interaksi guru dengan pelajar secara berkesan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajar dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya. Soalan-soalan yang dikemukakan memerlukan pelajar untuk berfikir disamping menguji dan menilai tahap kefahaman para pelajar tentang tajuk yang diajarkan oleh guru bahasa Melayu. Teknik ini sesuai digunakan memandangkan guru hanya menyoal soalan berdasarkan apa yang telah dipelajari. Sebagai contoh, guru mengarahkan para pelajar untuk menghuraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam cerpen yang telah dipelajari.  Teknik ini dapat membantu guru untuk mengesan tahap pengetahuan murid terhadap tajuk yang dipelajari dan dapat menggalakkan pelajar berfkir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis. Guru juga perlu merancang soalan yang ingin dikemukakan supaya dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih berkesan. Kesannya dapat dilihat apabila pelajar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan sebaik mungkin.


                Kaedah pembelajaran dalam kelas yang ketiga ialah teknik bercerita. Teknik pengajaran dan pembelajaran bukanlah semata-mata akademik, namun perlu memasukkan elemen-elemen lain untuk menarik perhatian para pelajar. Teknik ini merupakan pendekatan yang sesuai digunakan untuk membentuk kecekapan berbahasa kerana kaedah ini dapat menarik minat dan perhatian pelajar. Teknik ini sesuai digunakan untuk menerangkan novel, cerpen,drama dan sebagainya yang dipelajari dalam sukatan KOMSAS. Teknik perlu dilaksanakan dengan memasukkan peringkat cerita seperti peringkat permulaan, kemuncak dan kesudahan cerita tersebut. Aspek yang perlu dititikberatkan adalah teknik persembahan, suara, gerak laku dan kawalan mata. Sebagai contoh, untuk mendeklamasikan sajak, seseorang perlu mempamerkan persembahan yang mempunyai suara yang berbeza mengikut ritma, membuat gerak laku yang berbeza mengikut tajuk yang diberi dan sebagainya. Teknik ini juga dapat meningkatkan penguasaan para pelajar dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis di samping mengasah bakat para pelajar untuk berani menonjolkan diri di khalayak ramai walaupun aktiviti ini hanya dilaksanakan di dalam kelas. Penggunaan teknik ini dapat membantu mereka untuk memperoleh keputusan yang baik dalam KOMSAS.


                Seterusnya, guru bahasa Melayu boleh menggunakan kaedah yang berbeza untuk mengajar subjek KOMSAS kepada para pelajar. Guru bahasa Melayu boleh menggunakan kaedah penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM). Alat bantu mengajar (ABM) ialah bahan yang digunakan dalam pengajaran untuk membantu guru memudahkan pembelajaran. Penggunaan ABM boleh dibahagikan kepada dua iaitu berdasarkan penggunaan ABM berbentuk elektronik dan bukan elektronik. Bagi ABM berbentuk bukan elektronik, guru boleh menggunakan pelbagai alat yang bersesuaian dengan aktiviti pembelajaran seperti buku teks, papan pamer, grafik model, grafik, risalah, nota-nota, skrip, bahan-bahan permainan dan sebagainya. Sebagai contoh, penggunaan gambar-gambar dalam pembelajaran novel dapat mewujudkan gambaran yang lebih jelas tentang sesuatu situasi yang terdapat novel tersebut. Hal ini dapat membantu para pelajar untuk memahami kandungan novel tersebut di samping menarik perhatian pelajar untuk mempelajari KOMSAS. Para pelajar juga perlu didedahkan dengan penggunaan visual supaya mereka dapat berimaginasi dan mengaitkan sesuatu perkara dengan kehidupan mereka. Dengan kaedah ini, mereka dapat menghayati seni sastera itu sendiri. Hal ini dapat membantu untuk mereka mencapai keputusan yang cemerlang dalam KOMSAS.


                Penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) secara elektronik pula boleh digunakan secara meluas memandangkan alat ini mudah didapati pada zaman ini. Antara ABM berbentuk elektronik ialah filem tayangan, internet, pita rakaman, pita video dan sebagainya. Penggunaan ABM seperti filem tayangan dapat menarik perhatian para pelajar. Sebagai contoh, guru boleh menayangkan filem-filem klasik seperti Raja Bersiong, Batu Belah Batu Bertangkup, Bidasari, dan sebagainya untuk membantu mereka memahami penggunaan bahasa Melayu klasik. Kaedah ini dapat membantu mereka untuk menghayati prosa tradisional yang kebanyakannya menggunakan bahasa Melayu klasik. Selain itu, penggunaan ABM elektronik dapat mengekalkan ingatan yang lebih lama terhadap isi-isi pengajaran kerana kaedah ini menitikberatkan visual dan auditori para pelajar. ABM ini dapat menyediakan satu dasar yang kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak pemikiran, oleh itu ia dapat mengurangkan berbagai-bagai gerak balas lisan daripada para pelajar. Apa yang penting dalam penggunaan ABM ialah kecekapan seseorang guru untuk mengaplikasikannya dalam proses pembelajaran dalam kelas. Kecekapan guru dalam penggunaan ABM dapat membantu pelajar untuk mencapai keputusan yang baik dalam KOMSAS.


                Selain itu, guru bahasa Melayu juga boleh menggunakan kaedah yang lain iaitu pelaksanaan aktiviti dalam kelas. Pelaksanaan aktiviti dalam kelas dapat memberi peluang kepada pelajar untuk memberi pandangan dengan lebih bebas dan tidak terikat. Pelaksanaan aktiviti dalam kelas dapat menambahkan daya kreativiti para pelajar dalam subjek KOMSAS. Antara aktiviti yang dapat dijalankan dalam kelas sesuai dengan subjek KOMSAS ialah mendeklamasikan sajak, lakonan, mencipta pantun dan sebagainya. Walaupun begitu, aktiviti ini perlu diberi bimbingan memandangkan para pelajar tidak mempunyai pengalaman yang banyak untuk melaksanakan aktiviti ini. Guru perlu memberi bimbingan dan tunjuk ajar dalam melaksanakan aktiviti tersebut. Sebagai contoh, guru perlu memberi penerangan dan tunjuk ajar terlebih dahulu untuk mencipta pantun. Guru perlu mengajar mereka asas untuk mencipta pantun seperti ritma pantun, pembayang dan jawapan pantun, dan sebagainya. Dengan cara ini, para pelajar dapat memahirkan diri untuk mencipta pantun seterusnya dapat menambahkan daya kreativiti mereka dalam KOMSAS.


                Kesimpulannya, walaupun pencapaian keputusan para pelajar dalam KOMSAS berdasarkan usaha, dan tahap pengetahuan dan kefahaman mereka, namun kaedah guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas amat penting untuk membantu mereka mencapai keputusan yang cemerlang dalam KOMSAS. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dapat membantu pelajar untuk memahami dan menghayati sastera bahasa Melayu dengan lebih baik. Guru-guru perlulah sentiasa peka dengan tahap kefahaman pelajar kerana keupayaan para pelajar adalah berbeza-beza antara satu sama lain. Maka, guru perlu pelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam kelas agar pengajaran yang disampaikan dapat disampaikan kepada pelajar dengan sebaik mungkin.

Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING